Puan Romiah bt Dahlam merupakan salah seorang usahawan nasi ayam beraneka dan tinggal di Kampung Hulu Beladin. Beliau mula berjinak berniaga kecil-kecilan sejak tahun 1996. Pada tahun tersebut, beliau menjalankan perniagaan nasi ayam ini dengan menjaja ke setiap lorong-lorong di Kampung Beladin. " Kakak mula menjalankan perniagaan nasi ayam ini sejak adik kakak darjah

empat dan anak kakak pula darjah satu. Sekarang adik kakak berumur 27 tahun manakala anak kakak berumur 25 tahun", ujar beliau. " Pada masa itu, kakak cuma meniagakan nasi ayam masak sos dan nasi lemak dengan harga 50 sen sahaja", tambah beliau lagi.

Tambah beliau lagi, bagi memperkembangkan perniagaan beliau pada masa itu, beliau mempromosi jualan nasi ayam beliau kepada kawan-kawan. Hal ini demikian kerana, pada masa itu masih belum adanya capaian komunikasi di Kampung Beladin. Oleh itu, beliau menerima tempahan daripada orang kampung hanya menerusi tempahan verbal sahaja. Sejak penubuhan Pusat Internet Beladin pada tahun 2010, sebelumnya dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Beladin, beliau telah mengambil peluang sepenuhnya dalam memperluaskan perniagaan nasi ayam beliau dengan mempromosikannya secara dalam talian. Hal ini demikian kerana, beliau mendapati penduduk Beladin semakin aktif dalam aplikasi dalam talian seperti Facebook pada masa itu. " Rugilah jika kakak tidak memanfaatkan sepenuhnya kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan", katanya. Justeru, dengan menggunakan facebook, penduduk Beladin dapat mengenali perniagaan beliau dengan lebih cepat dan membuat tempahan secara dalam talian. Oleh sebab permintaan nasi ayam beliau yang semakin popular,beliau mula memperkenalkan aneka rasa nasi ayam seperti nasi ayam lelapan, nasi ayam hujan panas, nasi lemak kukus ayam goreng berempah dan nasi beriani.

 

Menurut beliau, keluasan kampung Beladin membataskan penjualan harian beliau. Hal ini kerana, beliau harus melakukan giliran penjualan di Kampung Hilir, Kampung Tengah dan Kampung Hulu Beladin. Beliau menambah, sejak kewujudan kemudahan internet, beliau telah membuka akaun facebook sendiri atas bantuan petugas Pusat Jalur Lebar Komuniti Beladin ketika itu (kini dikenali, Pusat Internet Beladin). Beliau mula mempromosi produk beliau dalam facebook dan mendapat tempahan yang memuaskan.

Atas bantuan dan bimbingan sukarelawan MIV, jualan beliau pernah dijadikan tempahan untuk majlis-majlis formal atau tidak formal di Kampung Beladin disamping pendapatan beliau juga meningkat mendadak sehingga RM 300 hingga RM500 sebulan.