Sambutan Perayaan Hari Sarawak 2016

 

22 Julai 1963, kira-kira 53 tahun yang lalu, Sarawak telah bebas daripada penjajahan British. Peristiwa bersejarah ini menyaksikan pengiktirafan yanng diberikan oleh Kerajaan British ke atas Sarawak dalam berkerajaan sendiri seperti yang diisytiharkan koloni British yang ditandai oleh perlantikan Ketua Menteri Sarawak yang pertama, Datuk Stephen Kalong Ningkan, sambil disaksikan jemaah menteri ( laman web rasmi Jabatan Hal Ehwal Khas).

Menerusi akhbar Utusan Online bertarikh 21 Julai 2013, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan mengatakan bahawa kabinet negeri yang dibentuk ini bertanggungjawab untuk mentadbir negeri sepenuhnya dan tidak lagi dibawah kuasa penjajah sebagaimana yang berlaku pada zaman pemerintahan Brooke iaitu selama 100 tahun dan zaman kolonial British selama 17 tahun. Beliau yang merupakan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Negeri turut menambah kenyataan di mana pada hari tersebut Gabenor British, Sir Alexander Waddel telah melantik Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri beserta lima lagi anak tempatan iaitu James Wong Kim sebagai Timbalan Ketua Menteri, Abdul Taib Mahmud sebagai Menteri Kerja Raya dan Telekomunikasi, Dustan Entawai sebagai Menteri Kerajaan Tempatan, Teo Kui Seng sebagai Menteri Sumber Alam, dan Awang Hipni Pengiran Anu sebagai Menteri Anu. Perlantikan anak tempatan oleh Gabenor British adalah sebagai anggota kabinet yang pertama.

Dalam laman BH Online bertarikh 23 April 2016, Tan Sri Adenan Satem telah mengisytiharkan 22 Julai sebagai cuti umum sempena hari kemerdekaan Sarawak daripada penjajahan British. Beliau turut menyatakan bahawa pengisytiharan ini adalah untuk mengenang jasa generasi lama yang berjuang untuk Sarawak. Beliau juga turut menegaskan sambutan ini bukan bermakna Sarawak mahu menuntut kemerdekaan daripada Persekutuan Malaysia, sebaliknya untuk meraikan kemerdekaan Sarawak daripada British ( Borneo Post Online, 12 Februari 2016).

Sambutan kali ini diadakan di Tebingan Sungai Sarawak di Kuching pada 22 Julai 2016. Sambutan tersebut diraikan meriah dengan persembahan pentomin mengenai sejarah Sarawak yang bermula dari pemerintahan Brooke, penjajahan Jepun, pemerintahan British, kemerdekaan Sarawak dan pembentukan Malaysia. Sambutan Hari Sarawak dimeriahkan lagi dengan kehadiran rakyat Sarawak yang pelbagai etnik seperti etnik Melayu Sarawak, etnik Iban, etnik Melanau, dan sebagainya, malah turut dihadiri oleh para pelancong luar negara dalam menyaksikan sambutan ini di Bandaraya Kuching yang turut dikenali sebagai 'City of Unity'.

Oleh kerana sambutan ini bagi memperingati hari yang bersejarah bagi negeri dan rakyat Sarawak, pihak Kerajaan Negeri akan mengemukakan cadangan supaya tarikh dan peristiwa bersejarah tersebut dimasukkan ke dalam sukatan matapelajaran sejarah di sekolah-sekolah (Utusan Online, 21 Julai 2016).

 

Sambutan Hari Merdeka Beladin 2015

Di dewan SMK Beladin